loading...

Tambah Mesin Imbas Kontena Pelaburan Seluruh Malaysia

PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) akan menambah mesin pengimbas kontena di semua pelabuhan di seluruh negara bagi mempercepatkan lagi proses pemeriksaan kontena dan muatannya.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata langkah itu juga dibuat bagi mempertingkatkan keupayaan jabatan itu dalam menangani sebarang kegiatan penyeludupan di pelabuhan.

“Apabila mesin tidak banyak atau rosak, pemeriksaan kontena terpaksa dibuat secara manual dan ini akan mengambil masa yang lama.

“…dan apabila perkara itu berlaku pelabuhan akan menjadi sesak dengan kontena sedia ada. Selain itu dengan tambahan mesin ini ia mampu mengurangkan kes penyeludupan barang yang dibawa masuk melalui pelabuhan,” katanya kepada pemberita di Wisma Kastam Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan berhubung perkara itu bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam.

Mengulas lanjut, Johari berkata keputusan untuk menambah mesin pengimbas itu dibuat susulan terdapat isu berbangkit berhubung kesesakan di pelabuhan.

“Ini antara isu utama yang kita bincangkan dengan pihak pelabuhan dan Kastam…bagaimanapun, berapa jumlah (mesin) yang akan kita letak di setiap pelabuhan, kita akan teliti dulu. Setakat ini kita dah ada beberapa mesin (di pelabuhan) termasuk 26 buah di Pelabuhan Klang.

“Pelabuhan kita sekarang ini kurang efisien kerana kita banyak melakukan pemantauan yang ketat dan penambahan pengimbas dilihat dapat membantu operasi pelabuhan kita lebih cekap seterusnya mencapai tahap pelabuhan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Liow yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan menyambut baik usaha untuk menambah mesin pengimbas kontena berkenaan.

Beliau berkata penambahan mesin ini akan meningkatkan keberkesanan perjalanan di pelabuhan seterusnya menjadikan pelabuhan negara ini sebagai hab logistik serantau. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus