loading...

K’jaan Disaran Wujud Pusat Tuisyen Kawasan Parlimen Luar Bandar

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Parlimen hari ini mencadangkan Kementerian Pendidikan mewujudkan pusat tuisyen khas kepada murid dan pelajar daripada keluarga miskin di luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak, bagi merapatkan jurang dengan murid di bandar.

Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan) berkata pusat tuisyen tersebut boleh dibuat di pejabat anggota Parlimen setiap kawasan melibatkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah, sebagai satu langkah kerajaan menyelami denyut nadi rakyat.

“Ramai murid-murid di luar bandar terdiri daripada keluarga miskin tegar. Jadi apabila menduduki UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) mereka tidak dapat menandingi murid-murid di bandar,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Mojigoh juga meminta supaya kerajaan pusat memberi pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Sabah dan Sarawak yang telah sekian lama diminta masyarakat Tionghua.

“Kalau di Semenanjung tidah mahu iktiraf UEC, bagilah pengiktirafan UEC ini kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mojigoh turut mencadangkan supaya sebuah sekolah di Kota Kinabalu dijadikan sebagai sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi memudahkan pelajar yang tidak dapat menempatkan diri di universiti tempatan untuk menyambung pelajaran ke luar negara.

Persidangan bersambung Isnin. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus