loading...

Naelofar Hijab Mohon Maaf Atas Kekhilafan

SELEPAS menerima banyak kritikan dan teguran daripada pelbagai pihak, hari ini syarikat pengeluar tudung jenama Naelofar Hijab, NH Prima International Sdn Bhd telah mengeluarkan permohonan maaf

Ini adalah susulan daripada kontoversi yang melanda jenama itu selepas mengadakan majlis pelancaran dan sambutan hari lahir di kelab malam dekat ibu kota, Isnin lalu.

BACA: Neelofa Sambut Baik Teguran Mufti

JUGA: “Tak Ada Arak Pun, Orang Luar Je Kecoh” – Neelofa

INI: #ZoukLofa: Naelofa Dilapor Kepada JAWI

Selaku Pengarah Urusan, Noor Nabila Mohd Noor, telah memuat naik permohonan maaf itu di kesemua laman sosial Naelofar Hijab akibat kejadian tersebut.

“Majlis pelancaran yang sepatutnya menjadi acara istimewa untuk jenama kami, menjadi isu perdebatan dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

“Sepanjang majlis pada malam itu, kami mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan apa-apa jenama dan botol minuman keras, gelas serta perkakas diasing dan dikeluarkan sepenuhnya daripada tempat terbabit sebelum majlis berlangsung.

“Akses ke bar dan kelab lain juga ditutup serta merokok dilarang sama sekali sepanjang majlis berkenaan,” tulisnya di kenyataan tersebut yang kini sudah tersebar di media sosial.

Nabilah merupakan kakak kepada Neelofa turut menghadiri majlis itu bersama dengan ahli keluarga mereka yang lain di kelab malam dekat Jalan Tun Razak, iaitu Zouk Kuala Lumpur.

Pihak NH Prima International telah menerima banyak teguran daripada pelbagai pihak yang prihatin dengan isu yang terjadi sehingga menyebabkan mufti dan pertubuhan Islam turut bersuara.

Sepanjang majlis itu, mereka telah menggunakan perkhidmatan katering dari luar yang telah menyajikan makanan halal buat para tetamu yang hadir.

“Semua perkakas termasuk sudu, garpu dan gelas yang digunakan tetamu disediakan syarikat katering terbabit,” tulisnya lagi.

Malah, di surat permohonan maaf itu turut disertakan sebab utama mereka memilik kelab malam itu sebagai lokasi pelancaran koleksi Be Lofa by Naelofar Hijab.

“Mereka menawarkan ruang untuk disewa sebagai tempat acara pada setiap Ahad dan Isnin kerana premis berkenaan tidak dibuka untuk kunjungan umum.

“Selain itu, sistem pencahayaan yang memberi efek neon, sistem bunyi, paparan LED dan sokongan teknikal adalah antara kemudahan yang diperlukan untuk menjayakan majlis itu.

“Semuanya didatangkan dalam satu pakej yang ditawarkan pihak terbabit,” ujarnya lagi.

Disebabkan insiden yang tidak disangka itu, Nabila yang juga merupakan isteri kepada pelakon Sharnaaz Ahmad turut memberitahu bahawa pihak mereka akan lebih mengambil langkah berjaya-jaga dan memperbetulkan keadaan itu selepas ianya menjadi buah mulut masyarakat.

“Tiada yang lebih penting daripada mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan semua.

“Kami mengambil serius dan mendengar semua komen mengenai isu ini. Kami akan menggunakannya untuk membimbing kami secara positif bagi mengelak insiden sama berulang,” katanya.

Malah Nabila turut memberi jaminan bahawa syarikat mereka tetap akan memastikan isu keagamaan serta kebudayaan itu akan dititikbertakan dalam setiap keputusan yang dilakukan selepas ini.

“Kami amat berharap agar diberi peluang untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan keadaan,” tambahnya.

Mungkin dengan apa yang telah terjadi ini akan memberi pengajaran kepada semua orang supaya sentiasa berfikir secara rasional dalam melakukan apa jua perkara kerana apa yang tejadi ini bagaikan telah menyentuh sensitiviti agama. -MYNEWSHUB.CC/ AH



Loading...

Share on Google Plus