loading...

Lahad Datu Rekod 64 Kes Denggi Sejak Januari

LAHAD DATU – Lahad Datu merekodkan 64 kes demam denggi bagi tempoh dua bulan sejak Januari hingga semalam, kata Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Daerah, Stanley Chin Yat Min.

Beliau berkata terdapat beberapa lokaliti baharu kes denggi turut dikesan melibatkan Kampung Takun, Long Pias, Kampung Perpaduan, Kampung Makuo, Jalan Amanah dan Kampung Bangigod.

“Lokaliti di Taman Aman 3, Kampung Sabah Baru, Taman Aman Jaya, Kampung Sri Aman, Kampung Desa Bajau dan kawasan Jalan Dam pula mencatatkan peningkatan kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Chin berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan mahu masyarakat mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan agar bebas daripada pembiakan nyamuk aedes.

“Masyarakat setempat juga perlu memberi kerjasama kepada petugas Jabatan Kesihatan yang melakukan pemeriksaan pembiakan aedes termasuk aktiviti semburan kabus (fogging) di kawasan kediaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata individu yang mengalami simptom awal seperti demam perlu segera ke klinik atau hospital berdekatan sebagai rawatan awal jika terkena demam denggi. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus