loading...

Keith Richards Mohon Maaf Kritik Jagger

LOS ANGELES – Pemain gitar Rolling Stone, Keith Richards, semalam memohon maaf kerana mencadangkan penyanyi utama kumpulan itu, Mick Jagger, menjalani kaedah vasektomi selepas menerima kelahiran anak kelapan.

Richards, 74, yang memiliki empat anak dan lima cucu, menggelar Jagger sebagai ‘si tua bernafsu’ dalam temubual dengan majalah Wall Street Journal (WSJ), yang disiarkan semalam.

“Sudah tiba masanya, anda tidak boleh menjadi bapa pada usia itu. Kasihan anak!” katanya mengenai Jagger.

Jagger, 74, mendapat anak kelapan pada Disember 2016 selepas teman wanitanya, Melanie Hamrick, melahirkan anak lelaki di New York.

“Saya amat kesal dengan kenyataan yang dibuat mengenai Mick dalam WSJ yang jelas keterlaluan.

“Sudah tentu saya meminta maaf kepadanya secara peribadi,” kata Richards dalam kenyataan di Twitter.

Richards dan Jagger, yang menulis kebanyakan lagu Rolling Stone sepanjang kerjaya kumpulan itu selama lima dekad, dikenali dengan persahabatan mereka yang ada pasang surutnya.

“Ada naik dan turun, tetapi jika saya bercakap mengenai Rolling Stone, tiada lain penyanyi selain Jagger.

“Tidak kisah apa yang sejauh mana anda tidak bersetuju dengannya, bekerjasama dengan beliau memang mengagumkan,” kata Richards dalam temubual WSJ edisi 10 Mac itu. – Reuters/BH ONLINE

Loading...

Share on Google Plus