loading...

Polis Tahan Suspek Khianat Sebuah Rumah Ibadat

KOTA BHARU – Polis Kelantan menahan seorang penjawat awam kerana disyaki terlibat dalam kes khianat sebuah pusat ibadat di Jalan Hamzah di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata suspek seorang lelaki berumur 34 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas pada pukul 1.30 tengah hari semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan tersebut kerana desakan suara halus atau halusinasi yang menyuruhnya mengkhianati rumah ibadat bukan Islam.

“Suspek bertindak memandu kereta isterinya berseorangan pada malam kejadian dari rumahnya di Pasir Mas sebelum melontarkan dua unit penapis air ke arah gereja tersebut,” katanya pada sidang akhbar berkaitan perkembangan kes berkenaan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata perbuatan tersebut adalah kali kedua dilakukan suspek selepas kali pertama ke atas gereja itu pada 3 Jan lepas.

“Suspek dikatakan mula mengalami halusinasi sejak kematian ibunya tahun lepas. Kes dianggap selesai dengan penahanan suspek,” katanya.

Katanya suspek berjaya ditahan dalam tempoh singkat susulan dia ditahan polis IPD Pasir Mas kerana disyaki terbabit dalam satu kejadian langgar lari berdekatan gereja itu pada malam yang sama.

Suspek kini ditahan reman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut, katanya.

Dalam kejadian itu, suspek disyaki telah membaling dua unit penapis air dari laluan bertingkat Jalan Hamzah kira-kira tujuh meter dari gereja berkenaan menyebabkan cermin depan rumah ibadat itu pecah. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus