loading...

Polis Buru Wanita Didakwa Tipu Pakej Pelancongan

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang wanita tempatan yang dipercayai menipu 23 orang awam melibatkan pakej pelancongan ke Korea Selatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata mangsa penipuan terbabit termasuklah beberapa artis dan penerbit drama melibatkan kerugian melebihi RM150,000.

Katanya, mangsa terbabit telah membuat laporan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya petang tadi membabitkan tujuh kes penipuan.

“Suspek mengaku mewakili sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan promosi pakej perlancongan ke Korea Selatan dengan tawaran menarik.

“Tertarik dengan pakej yang ditawarkan, mangsa membuat bayaran secara berperingkat melalui sistem bayaran atas talian dan apabila mangsa meminta tiket penerbangan, suspek memberi alasan kelewatan pembayaran ke pejabat ejen pelancongan di Seoul serta meminta mangsa memasukkan lagi duit ke dalam akaun persendiriannya sebelum menyediakan tiket penerbangan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya, apabila mangsa tiba di Seoul, mereka mendapati suspek tidak pernah membuat sebarang tempahan hotel dan pakej pelancongan untuk mereka di Korea.

Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

Share on Google Plus