loading...

MRM Tekad Selesaikan Masalah Rohingya Dalam Negara

KUALA LUMPUR – Majlis Rohingya Malaysia (MRM) hari ini bertekad untuk menyelesaikan masalah Rohingya dalam negara ini supaya menjadi lebih teratur.

Pengerusi Kehormat MRM, Mohd Nazri Sahat berkata Malaysia merupakan negara yang dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa dalam isu ini, tetapi jika tiada langkah yang diambil untuk menjaga kebajikan etnik Rohingya dalam negara ini, ia akan menimbulkan masalah pada masa akan datang.

“Di Malaysia, terdapat lebih 150,000 etnik Rohingya yang melarikan diri ke sini dan hanya 57,000 mempunyai kad pelarian yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya masyarakat Rohingya ini tidak dibantu, pelbagai masalah akan timbul terutama dari aspek keselamatan sosial.

“Sehingga kini, lebih dua generasi Rohingya telah menetap di sini. Sekiranya isu ini tidak ditangani secara baik, ia akan menimbulkan kekacauan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

MRM yang ditubuhkan pada 31 Dis tahun lalu akan mengadakan satu konvensyen Rohingya di sini pada 20 Jan dan lebih 200 wakil masyarakat Rohingya dijangka menghadirinya.

Di bawah MRM, terdapat 14 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk wakil NGO dari Indonesia, Rohingya, Afrika dan Pakistan. – BERNAMA

Share on Google Plus