loading...

Pengundi Gombak Berkurang Punca Azmin Lompat Kawasan

TANJONG KARANG – Sokongan pengundi di Parlimen Gombak yang semakin berkurangan didakwa menjadi faktor Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memilih untuk bertanding di kawasan Parlimen berbeza pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata isu pemimpin politik pembangkang kerap bertukar kawasan bertanding adalah perkara biasa kerana gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Mereka (ahli politik pembangkang) bila dah menang, pandang masalah rakyat pun tidak dan bila mereka rasa sokongan pengundi di situ semakin kurang mereka pergi bertanding di tempat lain. Di kawasan Gombak saya lihat banyak kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) mempunyai masalah, antaranya bumbung bocor, lif rosak, dan kawasan tidak diselenggara dengan betul.

“Dia (Mohamed Azmin) sebagai wakil rakyat perlu selesaikan hal ini tetapi sudah dua penggal di sana apa dia buat? Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula yang perlu selesaikan masalah ini,” katanya pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Kampung Parit 4, Sungai Burong, di sini hari ini.

Noh, yang juga menteri KPKT, berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media pada Rabu lepas mengenai kemungkinan Mohamed Azmin dan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin bertanding di Parlimen Shah Alam dan Parlimen Hulu Langat pada PRU14.

Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR merupakan penyandang kerusi Parlimen Gombak dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa sementara Zuraida menyandang kerusi Parlimen Ampang.

Berhubung program tinjauan mesra itu, Noh berkata kerajaan pusat telah menyalurkan peruntukan kira-kira RM1 juta bagi lapan projek menaik taraf infrastruktur awam di kampung itu.

Katanya, antara projek berkenaan adalah menaik taraf jalan kampung, sistem perparitan dan menurap dataran Masjid Al-Taufiqiah di kampung berkenaan. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus