loading...

Jabatan Pertanian Kedah Perkenal Baja Berunsur Silika

JITRA – Jabatan Pertanian Negeri Kedah kini mengorak langkah ke depan dengan memperkenalkan baja berunsur silika kepada petani bagi meningkatkan pengeluaran padi di negeri itu.

Pengarahnya Mohamed Bukhori Abdul Rahman berkata sebanyak 95 peket baja silika telah diedarkan kepada 95 petani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra untuk percubaan dan akan diguna secara meluas pada musim depan jika projek itu memberikan hasil positif.

“Lain-lain daerah juga akan dapat seperti di Kuala Muda dan Pendang, jadi kita mula di Jitra sebagai projek rintis untuk kita tengok hasilnya, jika ia terbukti meningkatkan daya tahan serangan penyakit kita akan gunakan secara meluas bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Majlis Muafakat Jalinan [email protected] Peringkat DUN Jitra di Sekolah Kebangsaan Malau di sini hari ini yang turut dihadiri Anggota DUN Jitra Datuk Aminuddin Omar.

Mohamed Bukhori berkata jabatan tersebut yakin penggunaan baja jenis berkenaan dapat menjimatkan kos operasi petani dan margin keuntungan yang diperoleh mereka akan bertambah

“Apabila pokok menjadi kebal iaitu tahan daripada serangan penyakit, kita berjaya menjimatkan kos operasi mereka kerana mereka tidak lagi perlu mengeluarkan modal yang banyak untuk membeli racun,” katanya.

Beliau berkata baja silika hanya bertujuan menguatkan daya tahan pokok padi dan petani masih perlu menggunakan baja sedia ada untuk memastikan kesuburan tanaman mengikut usia pokok.

“Petani boleh tabur baja ini semasa umur pokok antara 30 dan 60 hari dan baja-baja urea atau baja tambahan perlu digunakan agar pertumbuhan pokok padi tidak terbantut dan mudah menjadi sasaran haiwan perosak,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus