loading...

3 Pelajar Termasuk Pelajar Sekolah Ditahan Berlumba Haram

BUTTERWORTH – Tiga remaja lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan lima ditahan ketika sedang berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth, Bagan Ajam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata kesemua mereka yang berusia antara 17 dan 20 tahun itu ditahan sepasukan polis yang menjalankan operasi samseng jalanan di lebuh raya itu.

“Dalam operasi bermula pukul 5 petang itu, polis yang berpakaian preman dan membuat penyamaran di lebuh raya itu menahan tiga remaja termasuk pelajar tingkatan lima yang juga orang kurang upaya kerana masalah pembelajaran.

“Dua lagi remaja yang ditahan itu merupakan pekerja kilang dan kedai makan. Polis turut menyita tiga motosikal milik mereka. Semasa operasi itu terdapat geng mat rempit yang turut berada di lokasi kejadian namun mereka sempat melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata tiga remaja itu kini direman bagi membantu siasatan dan polis juga akan meneruskan operasi membanteras kegiatan lumba haram di lebuh raya berkenaan. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus