loading...

Suami Kena Serangan Jantung, Amyza Mohon Doa

SEMALAM, suami kepada pelakon Amyza Aznan dikatakan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Ampang Puteri selepas diserang sakit jantung.

Suami aktres itu, Khairil Izhar Mohd Nazir telah rebah pada kira-kira jam 5 petang semalam.

Apa yang mengejutkan lagi ialah apabila Amyza,41 memberitahu bahawa hasil pemeriksaan doktor semalam mendapati suaminya itu boleh pengsan bila-bila masa sahaja dan peluang untuk hidup sangat tipis.

“Bila doktor cakap begitu, saya sangat terkejut dan bersyukur kerana hanya Allah yang memanjangkan umur dia semalam.

“Sebenarnya dah sebulan dia batuk. Tapi semalam dia dah tak boleh tahan sebab dah sukar hendak bernafas. Jadi dia bawa sendiri kereta ke hospital,” katanya dipetik daripada sebuah akhbar tempatan.

Tambah Amyza, doktor sendiri terkejut apabila suaminya masih mampu lagi membawa kereta menuju ke hospital walaupun ketika itu hasil pemeriksaan mendapati paru-parunya sudah dipenuhi dengan air dan keadannya bagaikan sedang lemas di dalam air.

Lagi pula kini Amyza sedang sibuk dengan penggambaran drama sebanyak 50 episod.

Disebabkan hal kecemasan itu, pihak produksi telah memberi ruang pelepasan kepada Amyza namun dia mengambil keputusan untuk menyelesaikan dahulu urusan kerjanya agar tidak menyusahkan mana-mana pihak dikemudian hari.

“Saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Selesai penggambaran, saya akan terus pergi ke hospital,” tambahnya lagi yang kini dikurniakan tiga orang anak.

Selain itu, Amyza turut meminta agar para peminat dapat mendoakan kesihatan suaminya agar semuanya baik-baik sahaja. – MYNEWSHUB.CC/AH

Share on Google Plus