loading...

Mahathir Mohon Maaf Atas ‘Dosa Silam’

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memohon maaf terhadap ‘kesilapannya terdahulu’ sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan itu.

“Saya seperti manusia lain, tidak mungkin sunyi daripada berkata dan melaku kesalahan. Bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara.

“Saya pohon maaf terhadap apa juga kesalahan saya selama itu,” kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebelum mengakhiri ucapannya di IDCC Shah Alam, hari ini.

Ditanya apakah permohonan maaf itu termasuk atas peranannya dalam kes dakwaan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Operasi Lalang, Mahathir yang angkuh itu sekadar menjawab: You can translate anything you want (Kamu boleh tafsirkannya mengikut apa yang kamu mahu).”

Permohonan maaf itu diucapkan tidak berapa lama selepas beliau mengatakan beliau tidak akan memohon maaf kepada bekas ahli parti Pribumi sebagai “tak guna”, dalam ucapan yang sama.

“Biasanya saya akan menggelarkan mereka sebagai ‘sampah’ dan saya tak akan minta maaf. Mereka lebih teruk daripada musuh kita…mereka telah mengkhianati segala susah payah yang telah kami juangkan demi rakyat,” kata ahli politik berusia 92 tahun itu lagi.

Menyentuh tentang cara mengekalkan perpaduan di dalam PPBM, Mahathir berkata bahawa tidak ada tempat untuk pendapat dan pandangan yang berbeza di kalangan ahli parti.

“Tidak akan ada tempat bagi orang-orang seperti itu di PPBM, mereka mesti sedar bahawa tindakan mereka hanya akan membantu Datuk Seri Najib Tun Razak memenangi pilihan raya umum ke-14,” katanya penuh kesumat.

Pribumi telah digegarkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini oleh keluarnya beberapa pemimpin yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kepimpinan parti.

Antara mereka yang telah meninggalkan PPBM adalah anggota pengasas Anina Saadudin dan Kamarulzaman Habibur Rahman serta bekas naib presiden parti, Datuk Hamidah Osman.

Mengenai peruntukan kerusi untuk pilihan raya umum, Mahathir berkata anggota parti mesti menerima hakikat bahawa mereka tidak akan dapat bertanding di setiap kawasan yang mereka mahukan.

“Di banyak tempat, calon datang dari pelbagai pihak di Pakatan Harapan. Itulah sebabnya kita mesti bekerja keras untuk memberi kemenangan kepada parti-parti pembangkang yang lain.

“Sekiranya kita tidak menyokong calon Pakatan di kawasan lain, jangan harap calon kita mendapat sokongan daripada parti lain dalam pembangkang,” katanya, memetik laporan The Star Online. – MYNEWSHUB.CC

Share on Google Plus