loading...

Dera Bayi: Wanita Dan Teman Lelaki Ditahan

KUALA LUMPUR – Ibu kepada seorang bayi perempuan berusia 10 bulan dan teman lelakinya ditahan di Ampang dan Kajang semalam bagi membantu siasatan kes bayi berkenaan yang dipercayai mangsa dera.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata wanita dan lelaki berusia 21 dan 25 tahun itu ditahan sejurus laporan dibuat oleh lelaki berkenaan pada kira-kira 2.45 pagi Jumaat lepas.

Menurutnya, lelaki itu memaklumkan bahawa bayi itu muntah-muntah dan mempunyai kesan darah pada bahagian lampin.

“Bayi itu kemudiannya dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum doktor memaklumkan supaya mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” kata Ahmad Dzaffir dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan dibuat di HKL mendapati terdapat tanda lebam pada badan dan kepala bayi itu dipercayai kesan penderaan.

“Dua lagi kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun turut dibawa ke HKL untuk menjalani pemeriksaan,” katanya merujuk kepada dua lagi anak wanita itu.

Ahmad Dzaffir berkata siasatan awal mendapati wanita dan lelaki itu mempunyai rekod jenayah berhubung dadah.

Katanya, mereka direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus