loading...

Pendapatan Eksport Minyak, Produk Sawit M’sia Cecah RM78 Bilion Tahun Lepas

TELUK INTAN – Pendapatan daripada eskport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia mencecah RM78 bilion pada tahun lepas, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Katanya, ia meningkat sebanyak 15 peratus berbanding RM67.5 bilion pada 2016.

Peningkatan disebabkan usaha Malaysia bagi memperluaskan pasaran minyak sawit negara selain meneroka pasaran baharu di Iran dan Arab Saudi.

“Ini ditambah pula dengan langkah kerajaan melaksanakan Skim Eksport Minyak Sawit Mentah (MSM) tanpa duti eksport bagi tempoh tiga bulan bermula Januari lepas.

“Dalam tempoh tersebut, syarikat kelapa sawit perlu mengambil peluang ke atas pelaksanaan tanpa duti eksport dengan menjalankan lebih banyak aktiviti eksport sekali gus dapat meningkatkan nilai pendapatan eksport minyak dan produk sawit,” katanya.

Mah yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan bercakap demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan uniform sekolah menengah bagi kawasan parlimen itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Min di sini hari ini.

Seramai 500 pelajar menengah dari 12 buah sekolah sekitar Teluk Intan menerima set kelengkapan sekolah bernilai RM152 merangkumi pakaian serta beg sekolah, kasut, stokin, tudung dan set alat tulis yang disumbangkan oleh Yayasan Sime Darby.

Dalam pada itu, Mah berkeyakinan tindakan Kesatuan Eropah (EU) yang mengenakan larangan import minyak sawit ke Eropah menjelang 2021 tidak berjaya dilaksanakan.

“Semasa lawatan saya ke enam negara Eropah baru-baru ini, negara anggota EU itu telah memberi komitmen kepada Malaysia untuk tidak menyokong resolusi yang diluluskan Parlimen Eropah (bagi mengenakan larangan import minyak sawit dari luar negara memasuki kesatuan).

“Saya menerima maklum balas yang amat menggalakkan daripada menteri negara Eropah yang memberi sokongan penuh kepada Malaysia dan saya berkeyakinan cadangan larangan itu tidak berjaya,” katanya.

Mah mengadakan lawatan lima hari ke enam negara Eropah bagi Misi Rundingan Sawit Malaysia-EU iaitu Perancis, Sepanyol, United Kingdom (UK), Itali, Belanda dan Sweden pada Februari lepas. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus