loading...

Lelaki Didenda Cederakan Bekas Suami Teman Wanita Dengan Pengunci Stereng

KUALA LUMPUR – Seorang pengangkat barang stor warganegara Pakistan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini kerana mencederakan bekas suami teman wanitanya dengan pengunci stereng.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Syed Faiz Ahmed Shah, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap lelaki senegaranya, Ahmed Rana Safeer, 25, dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan Pandan Cahaya 2/3A, Taman Cahaya, Hulu Langat, di sini pada 10 malam, 21 Feb lepas mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Ahmed Rana sedang menunggu bekas isterinya untuk menghantar anak mereka kepadanya. dan bekas isteri mangsa kemudian datang menaiki kereta bersama Syed Faiz, yang merupakan tertuduh dan teman lelakinya.

Apabila sampai, tertuduh secara tiba-tiba keluar dari kereta lalu memarahi mangsa dan memukulnya dengan pengunci stereng.

Terdahulu, Syed Faiz yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda ringan namun Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon hukuman denda tinggi kerana tertuduh merupakan warga asing yang datang ke negara ini untuk mencari rezeki tetapi telah melakukan kesalahan jenayah. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus