loading...

Lelaki Dakwa Disamun Ditahan Beri Keterangan Meragukan

IPOH – Seorang lelaki yang mendakwa dirinya disamun sehingga mengakibatkan kerugian wang syarikat berjumlah RM33,000 ditahan semalam kerana memberi keterangan yang meragukan.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata lelaki berumur 25 tahun itu ditahan oleh anggota Bahagian Risikan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sebuah hospital swasta kira-kira 7.30 malam.

“Kita tahan lelaki itu kerana dia ada beri keterangan yang meragukan. Lelaki itu direman tujuh hari hingga Khamis depan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, lelaki itu mendakwa dia mengalami kecederaan pada bahagian perut sebelah kanan akibat ditikam dengan pisau oleh dua suspek ketika mahu memasukkan wang tunai RM33,000 milik syarikat ke dalam sebuah bank di Greentown di sini, Rabu lepas.

Suspek turut menyamun wang tunai peribadi milik mangsa berjumlah RM150 dan tiga cincin emas.

Siasatan polis mendapati tiada saksi kejadian dan tiada rakaman kamera tertutup (CCTV) di lokasi. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus