loading...

RLIR 2018: Juara Bertahan THA72 Dahului Kelas Racing

LANGKAWI – Juara bertahan, pasukan THA72 dari Thailand menampilkan aksi cemerlang apabila memenangi dua perlumbaan hari ini (perlumbaan kedua dan ketiga) kategori kelas Racing pada Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2018 di sini, hari ini.

Pasukan itu yang dikemudi Tom Whitcraft membuktikan kemampuan muncul pendahulu dalam kalangan empat pasukan bersaing dalam kelas tersebut selepas menamatkan tiga dari 10 perlumbaan keseluruhan, dengan mengumpul tiga mata penalti.

“Perlumbaan hari ini sangat bagus dengan keadaan angin yang begitu baik berbanding semalam dan kami berjaya memperoleh kemenangan,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan perlumbaan hari kedua di Royal Langkawi Yacht Club di sini.

Whitcraft berkata beliau sentiasa berhati-hati dalam setiap pelayaran kerana pesaing terdekat mereka, Uranus dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa mengekori di belakang ketika perlumbaan.

Mengulas mengenai perlumbaan mengelilingi pulau esok, beliau berkata ia melibatkan laluan yang lebih panjang dan mereka harus menggunakan percaturan taktikal berbeza.

“Ia memberi satu kelebihan buat pasukan tempatan kerana mereka lebih mengenali keadaan laluan di sini,” katanya.

Sementara itu, pasukan Uranus yang dikemudi Salleh Ahmad berjaya menduduki tangga kedua dengan mengumpul enam mata penalti.

Bekas juara 2016, Alive dikemudi Duncan Hine berada di tangga ketiga, berkongsi 11 mata dengan satu lagi wakil tempatan, pasukan Zuhal (di tangga keempat) selepas bot dari Australia itu mengalami masalah teknikal sehingga gagal menamatkan perlumbaan semalam.

Sebanyak 26 pasukan dari 10 negara mengambil bahagian dalam enam kategori dipertandingkan pada perlumbaan edisi kali ini, yang akan berakhir Sabtu ini. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus