loading...

Pulang Sejam Awal, Penjawat Awam Hamil Hargai

PUTRAJAYA – Memandu pulang dari tempat kerja dalam kesesakan jalan raya mampu memberi tekanan kepada kebanyakan individu, namun bagi ibu mengandung, tekanan yang dihadapi lebih hebat apabila ada antara mereka terpaksa menanggung kesakitan akibat duduk terlalu lama di dalam kenderaan.

Justeru, keprihatinan kerajaan melaksanakan kebenaran pulang awal satu jam bagi penjawat awam yang hamil lima bulan atau 22 minggu ke atas seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018, amat bermakna bagi mereka.

Bagi Zakiah Hanim Zainal Awaluddin, 34, yang kini hamil sembilan bulan, kebenaran pulang awal itu sangat dihargai memandangkan beliau sering terpaksa menghabiskan masa hampir dua jam di jalan raya setiap kali pulang dari tempat kerja akibat kesesakan jalan raya.

Pegawai Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini itu berkata kebenaran itu juga membolehkan beliau mengambil anak sulungnya yang berusia tiga tahun daripada pengasuh lebih awal sebelum pulang ke rumah di Shah Alam, Selangor.

“Sekurang-kurangnya saya dapat elak kesesakan jalan raya. Dalam keadaan biasa, saya boleh sampai di rumah dalam masa satu jam, tetapi jika jalan sesak, boleh mengambil masa sehingga dua jam dan ia sangat memenatkan,” katanya kepada Bernama.

Zakiah Hanim berkata kebenaran pulang awal itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan dan keselamatan penjawat awam wanita terus diberi keutamaan.

Pembantu Tadbir di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Norhaslinda Mohd Rosli, 36, yang kini hamil 27 minggu, pula berkata keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam wanita diharap dapat meningkatkan motivasi golongan itu untuk terus komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau yang mempunyai lima anak berusia antara lima hingga 12 tahun, berkata tugas di sesetengah jabatan kerajaan memerlukan mereka banyak bergerak dari satu bahagian ke satu bahagian, dan kebenaran pulang lebih awal itu membolehkan mereka mendapat waktu rehat lebih panjang.

“Bagaimanapun, pulang awal tidak bermakna kita mengabaikan tanggungjawab kita, kerja tetap perlu diselesaikan,” katanya.

Mengakui pada mulanya sedikit terkejut ketika mendengar pengumuman perdana menteri itu, Norhaslinda bagaimanapun memanjatkan rasa syukur terhadap sokongan yang diberikan kepada wanita bekerja agar dapat terus berkhidmat kepada masyarakat.

Pegawai Teknologi Maklumat di JPA, Nor Khafifah Jalany, 33, pula meluahkan rasa berbesar hati kepada kerajaan kerana memperkenalkan inisiatif itu walaupun beliau hanya boleh menggunakan kemudahan tersebut dalam tempoh dua minggu lagi.

“Saya kini hamil 20 minggu dan tidak sabar menunggu kandungan saya mencapai usia 22 minggu,” katanya secara berseloroh sambil menambah suaminya juga telah memohon untuk mendapatkan kemudahan tersebut.

Nor Khafifah berkata suaminya yang juga Pegawai Teknologi Maklumat di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) layak mendapatkan kebenaran tersebut memandangkan mereka pergi dan pulang kerja bersama-sama.

“Kebenaran pulang awal ini membolehkan kami mengambil dua orang anak kami yang kini berada di pra sekolah lebih awal daripada biasa,” katanya.

Pembantu Tadbir di Bahagian Komunikasi Korporat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Norazlina Lambo, 33, pula berkata kebenaran tersebut bukan sahaja membantu wanita hamil sepertinya untuk mengelak kesesakan jalan raya, malah memberi peluang kepada mereka untuk berehat lebih awal selepas waktu kerja.

Walaupun tinggal berdekatan dengan tempat kerja, Norazlina yang sedang hamil tujuh bulan berkata tempoh satu jam itu boleh digunakan untuk merehatkan badan seketika sebelum menguruskan dua lagi anaknya yang berusia tujuh dan dua tahun.

“Pertama kali dapat pulang awal saya rasa sangat lega. Sebelum ini, balik kerja terus ambil anak dari rumah pengasuh dan terus membuat kerja rumah, ditambah pula ketika ini saya mengalami sakit kaki kerana banyak berdiri.

“Apabila dapat berehat walaupun hanya satu jam, terasa badan lebih segar sebelum membuat kerja rumah,” kata Norazlina. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus