loading...

Pengasas WikiLeaks Diberi Kerakyatan Ecuador

QUITO – Ecuador akhirnya memberi taraf kerakyatan kepada pengasas WikiLeaks, Julian Assange selepas beliau gagal memperoleh kekebalan diplomatik bagi mengelak ditahan pihak berkuasa Britain.

Keputusan itu juga dibuat bagi memaksa Assange keluar dari bangunan kedutaan negara itu di London, selepas beliau berlindung di situ selama lima tahun.

Menteri Luar Ecuador, Maria Fernanda Espinosa, berkata Assange, 46, yang memiliki kerakyatan Australia diberi taraf warganegara Ecuador pada 12 Disember lalu.

Dalam satu sidang media di Quito, Espinosa berkata, satu permohonan bagi mendapatkan taraf diplomat untuk Assange sudah dikemuka tetapi ia ditolak Kerajaan Britain.

Pengiktirafan sebagai diplomat bertujuan membolehkan Assange keluar meninggalkan bangunan kedutaan itu tanpa ancaman ditahan pihak berkuasa.

“Kerajaan Ecuador mempunyai hak untuk memberi taraf warganegara bagi melindungi mana-mana individu serta memudahkan urusannya di negara tuan rumah,” kata Espinosa kepada wartawan.

Katanya, permohonan untuk memberikan status diplomatik kepada Assange dikemuka pada 20 Disember lalu, tetapi ia ditolak sehari selepas itu.

Sementara itu, Kementerian Luar Britain dalam satu kenyataan berkata: “Baru-baru ini, Ecuador ada memohon mendapatkan status diplomatik untuk Assange di sini.

“Namun, kami menolak permohonan itu dan tiada perbincangan mengenainya diadakan dengan Ecuador.

“Ecuador perlu tahu cara terbaik bagi menyelesaikan isu ini ialah dengan Julian Assange meninggalkan kedutaan bagi berdepan dengan hukuman”. – AFP/BH ONLINE

Loading...

Share on Google Plus