loading...

Pengasas Variasari, Festival Filem Malaysia Meninggal

KUALA LUMPUR – Bekas pengasas dan penerbit majalah Variasari, Datuk Mustafa Ton, selamat dikebumikan setelah meninggal dunia kira-kira jam 5 petang semalam akibat jangkitan paru-paru.

Menurut adik allahyarham iaitu Shaari Ton, arwah abangnya yang berusia 75 tahun tersebut sebelum itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara malam kelmarin selepas mengadu sakit dada.

“Allahyarham juga sudah menghidap penyakit angin ahmar sejak lebih setahun yang lalu. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Ampang Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang.

Allahyarham Mustafa atau nama sebenarnya Muhammad Ton, merupakan bekas Presiden Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) dan mencetuskan idea penganjuran Festival Filem Malaysia yang pertama pada tahun 1980 lalu.

Dalam perkongsiannya, Shaari memberitahu bahawa selain menerbirkan majalah bulanan sensasi itu, allahyarham sebenarnya pernah menerbitkan beberapa buah filem tempatan termasuk Dendang Perantau dan Tuan Badul.

Allahyarham malahan merupakan anak Melayu pertama yang berjaya menubuhkan kilang percetakan sendiri di Segambut, ibu negara pada tahun 1975 dengan menerbitkan akhbar tabloid Suara Rakyat, dedah beliau.

Mula terlibat dalam bidang seni ketika berkhidmat di stesen Radio Singapura sekitar 1960-an, allahyarham hijrah ke Malaysia bersama-sama dengan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin dan Allahyarham Datuk Mustapha Maarof.

“Beliau memang amat gigih mengembangkan karya seninya. Namun pada akhir hayat, allahyarham banyak pula menghabiskan masa bersama-sama dengan anggota keluarga selama sedekad di Jakarta, Indonesia.

“Beliau telah berpindah ke Jakarta lebih 10 tahun yang lalu dan menerbitkan majalah Hidayah. Dia (Allahyarham) kembali ke Malaysia kira-kira tiga bulan lepas selepas tahap kesihatannya merosot,” tambah Shaari.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak. Variasari diterbitkan Kumpulan Variapop Sdn. Bhd. pernah terkenal menerusi siri Bercakap Dengan Jin karya Tamar Jalis atau nama sebenarnya Ahmad Mahmud.

Disiarkan dari 1981 hingga 2005, siri 284 novel misteri itu menjadi yang terpanjang di dunia malah ketika zaman gemilang, majalah tersebut dicetak 120,000 naskhah pada dekad 1980-an. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Share on Google Plus