loading...

Pemandu Teksi Ditahan Disyaki Samun Guna Pistol

GEORGE TOWN – Polis menahan seorang pemandu teksi dan merampas sepucuk pistol bersama 20 butir peluru hidup yang disyaki digunakan lelaki itu untuk menyamun, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Nagalilit, Padang Serai di Kedah hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zainol Abdul Samah berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Bagan Luar, Butterworth disamun pukul 11.32 malam semalam.

“Dalam kejadian itu, lelaki terbabit masuk ke dalam kedai serbaneka itu dan berpura-pura seperti mahu membeli barang sebelum mengacukan pistol ke arah pekerja yang berada di kaunter bayaran.

“Suspek mengarahkan pekerja di situ menyerahkan semua wang dan dia melarikan diri dengan duit sebanyak RM110 yang disamunnya menaiki sebuah kereta Proton Perdana hitam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pekerja di kedai serbaneka itu sempat mencatat nombor pendaftaran kereta dipandu lelaki terbabit dan berikutan itu polis melancarkan Op Tutup bagi mengesan suspek.

Zainol berkata hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis berjaya menahan lelaki itu di rumahnya di Kampung Nagalilit kira-kira pukul 11 pagi dan merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson bersama enam butir peluru hidup bersama suspek.

“Semasa serbuan, lelaki itu cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditahan dan pemeriksaan lanjut di dalam kereta Proton Perdana miliknya, polis merampas 14 butir peluru dan satu sarung pistol,” katanya.

Beliau berkata hasil soal siasat, lelaki yang bekerja sebagai pemandu teksi di Kuala Lumpur itu turut mengaku terlibat dalam dua kes samun kedai serbaneka menggunakan pistol di Butterworth minggu lepas.

“Lelaki yang telah berkahwin itu juga mengaku memang balik ke Kedah semata-mata untuk melakukan samun di negeri itu serta di sekitar Butterworth,” katanya. – BERNAMA

Share on Google Plus