loading...

PAS Lapor Polis, Ucapan Mahathir Fitnah Besar

JOHOR BAHRU – PAS Johor hari ini membuat laporan polis terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung ucapannya yang mengaitkan parti itu dengan peristiwa berdarah Memali pada 1985.

Laporan dibuat Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Johor, Shamsudin Jaafar di Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, petang ini.

Shamsudin berkata kenyataan Pengerusi PPBM ketika berucap pada perhimpunan agung pertama parti tersebut di Shah Alam, kelmarin, adalah bersifat jahat dan fitnah besar terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Mahathir sekali lagi cuba mengaitkan peristiwa berdarah yang berlaku di Memali dengan Amanat Hadi. Beliau juga pada kali ini cuba mengaitkan mufti sebagai punca berlaku peristiwa berdarah tersebut,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau membuat laporan polis berkenaan dengan diiringi Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussein. Shamsudin berkata Mahathir tidak wajar membuat tuduhan tanpa bukti terhadap Presiden PAS dan mufti.

Sehubungan itu, PAS menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap beliau.

“PAS bimbang dengan kenyataan jahat dan fitnah itu boleh menyebabkan orang Melayu khususnya akan berpecah belah, para mufti tidak dihormati dan semua yang terlibat dalam peristiwa Memali akan bermusuhan,” katanya.

Parti itu menggesa kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi peristiwa itu supaya rakyat mengetahui kejadian sebenar. – BERNAMA

Share on Google Plus