loading...

Kepulangan Qobin Penjelajah Grand Slam Negara Meriah!

SEPANG – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini penuh dibanjiri ramai orang menyambut kepulangan penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin atau Qobin, hari ini.

Suasana di dewan ketibaan ternyata meriah dengan sanak saudara Qobin, pihak media dan orang ramai yang bersemangat meraikan kepulangan wira negara itu muncul sebagai penjelajah Grand Slam pertama Malaysia.

Mereka membawa bendera Malaysia dan pelbagai sepanduk dengan ucapan tahniah ditujukan khas kepada penjelajah itu mengharumkan nama negara apabila lengkap misi ekstrem di Kutub Selatan akhir bulan lalu.

Penjelajah yang berasal dari Lembah Pantai, Kuala Lumpur itu selamat tiba di KLIA kira-kira jam 10 malam Sabtu diiringi oleh penasihat Kelab Ekspedisi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Qobin yang kelihatan tenang ketika ditemui media, berkata beliau akan terus menaburkan jasa kepada negara serta menjadikan kejayaan dirinya sebagai motivasi dan inspirasi kepada rakyat Malaysia terutamanya belia.

Dalam pada itu, Qobin juga memaklumkan perancangan beliau selepas ini akan membuat program-program motivasi buat anak muda untuk lebih berjaya di peringkat antarabangsa.

Ditanya mengenai mengenai tahap kecederaan yang dialami ketika ekspedisi, Qobin memaklumkan bahawa jarinya masih lagi kebas namun percaya ia akan beransur pulih tidak lama lagi.

“Rasa kebas masih ada namun syukur kerana tidak kena jangkitan fros. Ia akan beransur-ansur sembuh dalam tempoh sebulan atau sebulan lebih,” ujar beliau penuh bersemangat.

Dalam pada itu, Qobin juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sentiasa memberi ruang dan sokongan padu kepada gerenasi muda untuk berjaya.

“Kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, saya ucapkan terima kasih kerana sentiasa turun padang merasmikan dan melancarkan ekspedisi ini selain beri ruang kepada anak muda lain untuk berjaya.

“Terima kasih juga saya ucapkan dan kerana kecekalan beliau untuk membuatkan dirinya lebih kuat dalam membangunkan negara.

“Hari ini kita tengok ringgit pun semakin kukuh malah segalanya banyak yang positif tentang negara dan tiada yang negatif kita dengar.

“Oleh itu terima kasih Datuk Seri Najib Tun Razak dan tak lupa juga kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melancarkan ekspedisi ini,” katanya.

Sementara itu, Akmar Hisham pula berkata KE7B merancang untuk mengadakan pameran khas di Muzium Negara pada Ogos ini untuk mempamerkan seluruh kejayaan yang telah dilakar oleh kelab penjelajah tersebut.

Antaranya seperti Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi Jelajah KE7B  Felda Greenland dengan ski 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016.

“Perbincangan awal saya telah lakukan dengan pihak muzium dan pada dasarnya mereka telah bersetuju dan Insha-Allah kita akan kumpulkan bahan-bahan dan pamerkan kejayaan hebat rakyat Malaysia ini yang dikategorikan sebagai ikon sukan lasak negara kita.

“Dalam masa sama, kita juga merancang beberapa ekspedisi baru dan akan diputuskan nanti apa yang kita akan lakukan dalam waktu terdekat, sesuatu yang letak nama penjelajah ke satu tahap lebih tinggi daripada sekarang.”

Turut sama hadir menyambut kepulangan penjelajah ulung berkenaan ialah Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga teruja meraikan kejayaan Qobin.

Raja Nong Chik yang merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata beliau berbangga dengan kejayaan yang diraih Qobin menempa nama sebagai penjelajah Grand Slam dan berharap agar dapat dicontohi anak muda.

“Saya bagi pihak warga Lembah Pantai dan rakyat Malaysia cukup berbangga Muqharabbin telah mencapai taraf paling tinggi iaitu Grand Slam.

“Apatah lagi asal usul beliau datang dari golongan setinggan boleh berjaya di tahap antarabangsa yang mana bagi saya bukan sahaja jadi kebanggaan Malaysia malah boleh dikatakan seluruh dunia.

“Saya harap beliau menjadi contoh kepada anak-anak muda Malaysia selain turut menjadi pencetus semangat kepada mereka,” ujarnya.

Qobin berjaya menamatkan misi Ekspedisi Penjelajah Grand Slam Malaysia 2017 apabila beliau tiba di titik 90 darjah Kutub Selatan tepat pukul 11.05 pagi (waktu Malaysia) pada 28 Disember lalu.

Ekoran kejayaan itu, Qobin berjaya menempa nama sebagai penjelajah Grand Slam iaitu individu yang berjaya daki tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia selain berski di Kutub Utara, Kutub Selatan dan juga Gunung Everest.

Kejayaan yang diraih itu juga melayakkan penjelajah berasal dari Lembah Pantai ini menjadi individu kedua dari rantau Asia Tenggara dan individu Islam ketiga serta termuda diiktiraf sebagai penjelajah Grand Slam dunia.

Untuk rekod, Qobin berjaya menamatkan dua misi yang juga antara syarat untuk dapat gelaran ini iaitu menawan tujuh puncak tertinggi dunia di tujuh benua (2004-2010) dan berski di Kutub Utara (2017). – MYNEWSHUB.CC/AM

Loading...

Share on Google Plus