loading...

Kemaman Semakin Pulih, Hanya 948 Mangsa Di Dua PPS

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Kemaman semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 948 mangsa daripada 207 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 2,270 orang daripada 541 keluarga pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata penurunan mendadak jumlah mangsa banjir itu susulan penutupan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman secara berperingkat hari ini.

“Tujuh PPS yang ditutup hari ini ialah Surau Kampung Ban Ho, Kampung Pasir Gajah, Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor, Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai, SK Binjai, Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman dan SK Seri Iman.

“Kesemua 1,322 mangsa banjir daripada 334 keluarga di tujuh PPS itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah air surut hari ini,” katanya.

Pada masa ini, hanya dua PPS masih beroperasi iaitu SK Bukit Mentok yang masih mencatat jumlah mangsa sama seperti pagi tadi sebanyak 843 orang daripada 189 keluarga, manakala Surau Pulau Tempurung masih menempatkan 105 mangsa daripada 18 keluarga.

Che Adam berkata lebih ramai mangsa banjir dijangka dibenarkan pulang ke rumah mereka jika cuaca terus baik sepanjang hari esok.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata hanya satu sekolah masih ditutup esok iaitu SK Bukit Mentok kerana dijadikan sebagai pusat pemindahan mangsa banjir.

“Ia melibatkan 570 murid, 43 guru dan empat anggota kumpulan pelaksana manakala lima sekolah lain yang ditutup pada Khamis lepas telah selesai dibersihkan dan boleh beroperasi seperti biasa mulai esok,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus