loading...

JPN Kelantan Bantu Remaja Tercicir Persekolahan

KOTA BHARU – Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan sedang mengambil tindakan bagi membolehkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini meneruskan persekolahan.

Pengarahnya Muhammad Zahari Othman berkata pihaknya sudah mendapatkan maklumat mengenai kes pelajar tercicir persekolahan dikatakan akibat kemiskinan keluarganya.

“Pihak jabatan ini akan membuat tindakan susulan dan saya yakin ia dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, sebuah keluarga yang terdiri daripada 22 anggota termasuk remaja terbabit terpaksa tinggal di sebuah rumah dua bilik tidur dengan keluasan 15 kali 25 meter persegi di kampung itu kerana kesempitan hidup.

Bagaimanapun pemilik rumah itu Zahrah Daud, 58, hari ini menjelaskan hanya 13 anggota keluarganya tinggal secara tetap di rumah itu manakala sembilan lagi tinggal berasingan dan datang pada hujung minggu atau cuti persekolahan.

“Apabila semua datang ke rumah ini memang suasananya agak sesak sehingga ada yang terpaksa tidur di ruang tamu rumah,” katanya.

Zahrah dan suaminya Zulkifli Deraman, 61, mendiami rumah itu bersama tiga anak, dua menantu dan enam cucu manakala dua lagi anaknya yang sudah berkahwin tinggal berasingan.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pengkalan Chepa Zarina Md Eusope berkata pihaknya akan membantu menyediakan kelengkapan persekolahan untuk remaja berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga akan membantu keluarga itu menceburi perniagaan kecil-kecilan bagi menambah pendapatan.

Setakat ini, pendapatan keluarga terbabit diperolehi melalui mengambil upah menyediakan sate kepada peniaga sate di kampung itu manakala anak lelaki bekerja sebagai buruh. – BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus