loading...

Haram ‘Cosplay’ Ala Dewa, Harus Jadi Badut Jika…

JIKA anda peminat anime dan kebetulan pula gemar menggayakan kostum cosplay watak adi wira tertentu yang ada kuasa sakti, sila ambil perhatian pencerahan Mufti Wilayah Persekutuan ini!

Mengenakan kostum sedemikian, jika ia mendedahkan aurat tubuh atau menyerupai dewa mana-mana agama, kepercayaan dan rekaan jelas seperti Beerus, Haruhi Suzumiya, Deus Ex Machina, maka hukumnya adalah haram.

Dalam entri siri terbaharu Bayan Linnas oleh Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, beliau merujuk hadith masyhur sabda Rasullullah SAW iaitu, “Sesiapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia juga termasuk sebahagian mereka.”

Entri menerusi Facebook dan laman sesawangnya itu selanjutnya menjelaskan, biarpun tiada kaitan jelas antara pemakaian kostum dengan akidah, namun hukum yang jatuh adalah demi menjaga jati diri agama seorang Muslim.

“Sekiranya ada yang mempersoalkan kaitan pemakaian kostum dewa-dewa dengan akidah, kami katakan bahawa ia bukan isu tergugat atau rosaknya akidah tetapi ia adalah isu jati diri seorang Muslim,” entri beliau itu menyebut.

Bukan itu sahaja, Zulkifli menjelaskan bahawa jika pembelian kostum tersebut pula oleh peminat tegar watak cosplay berkenaan ada membabitkan isu pembaziran wang yang banyak, hukumnya juga adalah jatuh haram.

Turut disebutkan adalah hukum memakai kostum badut yang secara umumnya adalah makruh, namun ia masih lagi dibolehkan sekiranya perlu dibuat atas tujuan pendidikan dan sekadar hiburan untuk golongan kanak-kanak.

Pun begitu, beberapa syarat perlu dipatuhi antaranya tidak meninggalkan kewajipan sebagai Muslim, tidak menjatuhkan maruah orang lain dan tidak berbohong dalam berjenaka. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Share on Google Plus