loading...

Gajah 2 Tan Amuk Maut Kena Renjatan Elektrik

GERIK – Seekor gajah betina yang dianggarkan seberat 2,000 kilogram ditemui mati berhampiran Dataran Juang, Kem Sri Banding dekat sini pagi Selasa dipercayai terkena renjatan elektrik.

Dalam kejadian jam 4 pagi, mamalia besar itu dilaporkan datang ke kawasan tersebut sebelum beralih ke Penempatan Kontena Awam yang didiami sekumpulan pekerja kontrak warga Bangladesh.

Gajah tersebut dikatakan turut mengamuk dan memusnahkan sebuah kabin milik kontraktor yang menjalankan kerja-kerja membaiki tanah runtuh di kawasan itu.

Menurut laporan media tempatan akibat kejadian penuh dramatik itu, tiang pagar Dataran Juang patah dan rosak teruk manakala kontena roboh dan pecah,

Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin, berkata Pejabat Perhilitan Gerik menerima panggilan pukul 7.30 pagi memaklumkan kejadian.

Katanya, berikutan itu, pihaknya kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati ada satu bangkai gajah betina di lokasi kejadian yang dipercayai mati akibat terkena renjatan elektrik.

“Pihak kami mengambil langkah awal mengawal keadaan tempat berkenaan serta menjalankan siasatan terhadap bangkai berkenaan.

“Bangkai gajah betina yang mati itu dianggarkan seberat kira-kira dua tan dengan saiz tapak kakinya adalah sepanjang 35 sentimeter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Shaharuddin berkata, gajah terbabit dipercayai terkena renjatan 240 voltan elektrik yang dibekalkan ke kabin berkenaan dan dipercayai mati di lokasi kejadian.

Kata beliau lagi, bagi membolehkan proses siasatan dapat dilakukan, bekalan elektrik ke kabin berkenaan terpaksa dimatikan oleh pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Beliau berkata, bedah siasat baru sahaja selesai dijalankan kira-kira jam 4 petang hari ini dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan berhubung kematian gajah berkenaan.

“Perhilitan Perak akan mengambil langkah melupuskan bangkai gajah betina berkenaan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

* Video bawah sekadar hiasan…

Share on Google Plus