loading...

Kastam Tumpas Sindiket Seludup Eramin 5

BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih 1.5 juta pil Eramin 5 bernilai hampir RM24 juta melalui kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, minggu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya, berkata pihaknya mengesan dadah berkenaan dibawa masuk menggunakan syarikat penerbangan dari Taiwan pada 14 Disember lalu.

Katanya, dua lelaki yang dipercayai ejen penghantaran barang berusia 18 dan 34 tahun turut ditahan ketika serbuan bagi membantu siasatan lanjut.

“Kita mengesyaki 12 kotak yang dibawa masuk ke kompleks kargo LTAPP mengandungi barang meragukan tidak sama seperti yang diisytiharkan di dalam borang kemasukan.

“Berikutan sepasukan penguatkuasa Kastam bertindak membuat serbuan dan menemui dadah jenis Eramin 5 di dalam semua kotak berkenaan,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Jelasnya, dua suspek yang ditahan kini direman selama 12 hari sehingga esok bagi siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dua suspek ini ditahan sejurus mengambil barang berkenaan yang dikatakan ia hanya sebahagian daripada bahan mekanikal seperti yang diisytiharkan dalam borang kemasukan ke negara ini.

“Kita juga menahan dua lagi suspek yang menyerah diri hari ini dan masih menyiasat latar belakang individu berkenaan sebelum tindakan lanjut dapat diambil,” katanya. -BHARIAN

Share on Google Plus