loading...

Dua Suspek Geng Curi Motosikal Diberkas

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan dua lelaki yang dipercayai anggota geng curi motosikal dalam serbuan di sebuah pondok di Perai, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu pondok itu pada 7 malam dan menahan suspek berusia 41 dan 48 tahun berkenaan.

“Semasa serbuan, kedua-dua lelaki itu sedang khayal akibat pengambilan dadah dan polis turut merampas heroin seberat 2.54 gram bersama peralatan menghisap dadah bersama suspek,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan polis di pondok itu menemukan dua motosikal yang dilaporkan hilang di Bukit Mertajam baru-baru ini.

Siasatan mendapati kedua-dua suspek bersama seorang lagi rakan mereka merupakan anggota geng curi motosikal dan pondok berkenaan dijadikan tempat simpanan kenderaan curi terbabit sebelum dijual, katanya.

Nik Ros Azhan berkata selain menjual motosikal berkenaan, suspek turut meleraikan kenderaan itu dan menjual komponennya kepada geng ‘mat rempit’ pada harga murah.

“Modus operandi mereka ialah mencuri motosikal yang diparkir di kawasan pusat membeli-belah dan menjual dengan harga murah. Dua lelaki yang bekerja sebagai buruh dan positif dadah itu kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 33 tahun selepas disyaki terlibat dalam kegiatan menghasil serta menjual air ketum di sekitar daerah SPT. Beliau berkata lelaki itu ditahan kira-kira 7 malam semalam di Jalan Kulim, Machang Bubok dan polis merampas 10 bungkusan air ketum bernilai RM100 bersama suspek yang bekerja di kedai makan itu.

“Selain bekerja di kedai makan, dia juga menghasilkan air ketum sebelum menjual kepada pelanggan tetapnya dan semasa ditahan lelaki itu dalam perjalanan menghantar air tersebut kepada pembeli,” katanya.

Katanya lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 30 Akta Racun 1952. – BERNAMA

Share on Google Plus