KLANG – Gara-gara menghayun kayu hoki bertujuan menakut-nakutkan individu lain, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nor Asma Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas T. Mathan, 25, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap Huang Tiong Yeong, 37, di Bulatan Taman Berkeley di sini, kira-kira 1.15 petang pada 16 Dis lepas.
Dia dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah memerintahkan Mathan dipenjara dari tarikh dia ditangkap pada 18 Dis lepas dan memerintahkan lelaki itu dipenjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh membayar denda tersebut.
Terdahulu, peguam Gerard Lazarus yang mewakili Mathan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapa, isteri dan anak berusia tiga tahun selain menghidap kencing manis kronik yang memerlukan dia kerap makan ubat.
“Anak guam saya juga sudah meminta maaf kepada mangsa kerana bertindak di luar pemikiran,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Amira Abdul Aziz pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya dengan mengambil kira kepentingan awam berikutan kes buli jalan raya semakin berleluasa pada masa ini.
Rakaman video mengenai kejadian itu tular di media sosial selepas dipercayai dimuat naik mangsa.
Dalam video berdurasi satu minit 30 saat itu, mangsa sedang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima di bulatan berkenaan sebelum sebuah kereta Proton Wira tiba-tiba keluar dari arah kiri di laluan itu dan berhenti di depan kenderaan mangsa.
Pemandu kereta Proton Wira itu kemudian dilihat keluar dari kenderaannya dan mengugut mangsa dengan menghayunkan kayu hoki ke arah pemandu MPV itu. – BERNAMA
Loading...