loading...

Chun Yong Senarai 20 Pemain Terbaik Ke Latihan Pusat

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong menyenaraikan 20 pemain terbaik bagi menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Taiwan, Februari depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, 14 daripada 20 pemain itu merupakan pemain yang membantu Malaysia muncul naib juara Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2017 di Vietnam, awal November lepas.

Bagi melengkapkan senarai 20 pemain tersebut, Chun Yong memanggil enam pemain lain iaitu dua daripadanya adalah pemain KL City – Syafiq Hamzah dan Hazizi Mansor – diikuti pemain Sarawak, Iskandar Harun, Muhammad Aidil Shahril Rosli (Felda United), Ahmad Harith Naim Mohd Nasir (Kuantan Rangers) dan Saiful Aula Ahmad (Melaka).

Kem latihan pusat berkenaan yang dijadual berlangsung selama tiga minggu bermula Selasa depan akan melalui tiga fasa, dengan fasa pertama akan diadakan di Wisma FAM selama seminggu sebelum dibawa ke Kota Bharu, Kelantan selama seminggu dan kembali semula ke Wisma FAM untuk menamatkan baki seminggu latihan pusat di sana.

Skuad negara kemudian akan ke Beirut, Lubnan pada 20 Jan untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang skuad kebangsaan Lubnan sebagai aksi pemanas badan sebelum berlepas ke Taiwan pada 30 Jan bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFC 2018.

Malaysia yang diundi berada dalam Kumpulan A bakal memulakan kempen berdepan Vietnam pada 1 Feb diikuti aksi kedua menentang tuan rumah Taiwan (3 Feb) sebelum menutup saingan kumpulan bertemu Bahrain (5 Feb).

Untuk rekod, skuad negara yang kini menduduki ranking kelapan terbaik Asia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam 11 penyertaan sebelum ini pada kejohanan tersebut.

Berikut adalah senarai 20 pemain yang disenaraikan untuk menyertai kem latihan pusat bermula Selasa depan:

Bil Nama Umur Pasukan
1 Abu Haniffa Hasan 26 Melaka
2 Muhammad Awaluddin Hasan 26 Melaka
3 Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin 30 Melaka
4 Saiful Aula Ahmad 25 Melaka
5 Mohd Firdaus Razali 33 Melaka
6 Saiful Nizam Mohd Ali 26 Melaka
7 Yazid Kamaruzuan 25 Melaka
8 Azrul Hadee Mohd Taufiq 30 Felda United
9 Muhammad Azri Rahman 23 Felda United
10 Mohd Azwann Ismail 25 Felda United
11 Syed Aizad Daniel Syed Nasir 21 Felda United
12 Muhammad Aidil Shahril Rosli 20 Felda United
13 Mohd Ridzwan Bakri 23 Pahang
14 Akmarulnizam Mohd Idris 26 Pahang
15 Muhammad Farikh Khabibor Rahman 20 Perak
16 Mohamad Awalluddin Mat Nawi 19 Perak
17 Muhammad Syafiq Hamzah 26 KL City
18 Hazizi Mansor 24 KL City
19 Iskandar Harun 17 Sarawak
20 Ahmad Harith Naim Mohd Nasir 17 Kuantan Rangers

– BERNAMA

Loading...

Share on Google Plus