loading...

Caj Penggambaran Naik, Persatuan Mohon Pencerahan

KHAMIS lalu, Perbadanan Putrajaya ada memuat naik satu posting menerusi laman Facebook mengenai kadar bayaran baharu bagi penggunaan permohonan penggambaran di bandar tersebut.

Menerusi kenyataan rasmi berkenaan, bayaran baharu yang dikenakan adalah lebih mahal dan menerima pelbagai kritikan termasuklah Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM).

Susulan itu, PTVM dilaporkan meminta pencerahan berhubung peningkatan caj tersebut di mana ia boleh mengakibatkan kos penerbitan menjadi semakin tinggi.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata pihaknya inginkan penjelasan kerana peningkatan tersebut boleh mengakibatkan kos penggambaran bertambah mahal.

“Pihak PTVM mahukan penjelasan di atas keputusan Perbadanan Putrajaya menaikkan kadar caj bagi penggunaan lokasi penggambaran di Putrajaya berkuat kuasa 1 Januari 2018.

“Peningkatan caj ini terpaksa ditanggung syarikat penerbitan dan ianya sudah tentu meningkatkan kos penerbitan.

“Putrajaya adalah lokasi yang menarik bagi memaparkan imej negara sudah tentu menjadi tumpuan syarikat penerbitan,” katanya dipetik Astro Awani.

Sehubungan itu, Jefri berharap perbadanan Putrajaya dapat menangguhkan penguatkuasaan kadar tersebut serta mengadakan perbincangan dengan PTVM terlebih dahulu berhubung isu ini.

“Pihak persatuan berharap Perbadanan Putrajaya dapat tangguh serta berbincang dengan PVTM bagi cari kaedah penetapan caj dengan ambil kira harga pembelian program TV masih rendah dan kos makin meningkat,” ujarnya.

Terdahulu, menerusi satu kenyataan Perbadanan Putrajaya memaklumkan kadar baharu untuk penggambaran di kawasan platinum dikenakan sebanyak RM5,000 sehari bagi setiap permohonan.

Selain itu, bagi kawasan lain pula caj sebanyak RM2,000 akan dikenakan untuk sehari dan deposit pada kadar rata sebanyak RM5,000 turut dibuat bagi setiap permohonan. – MYNEWSHUB.CC/AM

Loading...

Share on Google Plus