loading...

Ancaman Serius Berita Palsu Didalangi Media Asing

MEREKA bijak guna pengaruh media tersohor, wujud kumpulan kerja di belakang tabir untuk gerak ‘regime change’ giat serang Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Antaranya akhbar Wall Street Journal, New York Times, majalah The Times dan stesen Cable News Network yang diketahui memang dimiliki taikun Yahudi tertentu dan segala berita disiarkan adalah jelas bersifat pro-Zionis Israel.

Gandingan kumpulan yang terdiri daripada ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan media asing ini bekerja untuk memastikan kerajaan yang menjadi sasaran mereka tumbang dan boneka mereka mentadbir negara itu.

Ambil contoh operasi ‘guling’ allahyarham Presiden Saddam Hussein di Iraq, ahli politik Barat sanggup berbohong tentang kewujudan senjata pemusnah besar-besaran atau sering disebut weapon of mass destruction (WMD).

Dengan maklumat yang kononnya disalurkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA), selain beberapa NGO prodemokrasi melobi kerajaan asing masuk campur menggunakan media dimiliki mereka.

Semuanya bergerak seiring Saddam digulingkan dengan serangan pasukan tentera secara besar-besaran. Itu contoh paling ekstrem, bahkan ada juga kerajaan yang digulingkan melalui demonstrasi jalanan rakyat propembangkang.

Antaranya revolusi Arab Spring di Mesir menjatuhkan bekas presiden Hosni Mubarak sebelum merebak Tunisia serta separuh ketenteraan di Libya dan Syria dengan gelaran Salam Rabi’a atau empat jari dalam bahasa Arab.

Di Malaysia, ancaman gerakan jahat itu semakin jelas terasa terutamanya dengan penyebaran berita palsu berkaitan ‘penyelewengan’ 1MDB cuba dikaitkan konon melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Mereka berbohong secara tersusun dan besar-besaran dengan maklumat dan informasi palsu bagi mengolah persepsi minda masyarakat serta penyokong tegar mereka bahawa Najib telah berjaya menyalahgunakan kuasa.

Berikutan itu, Barisan Nasional (BN) menerusi Biro Penerangan UMNO kini mengatur gerak kerja bagi menangani berita palsu dan memerangi persepsi yang disebarkan pembangkang menerusi media sosial menjelang PRU ke-14.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa, berkata isu dihadapi bukan lagi stereotaip dan mudah diramalkan, sekali gus menuntut PRU ke-14 yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya itu perlu diuruskan dengan cara unik.

“Cabaran dihadapi kini lebih kompleks, kita tidak boleh hendak agak dari segi masa dan apa cerita mahu direka. Kadang-kadang ada guna sumber luar negara atau agensi atau pihak tertentu yang seolah-olah berwibawa,” katanya.

Contohnya, beliau berkata ada portal berita kononnya tempatan tetapi sebenarnya adalah ejen media antarabangsa berpangkalan di luar negara, yang jelas mempunyai niat dan agenda jahat tersendiri untuk hancurkan kerajaan BN.

“Mereka pakar buat berita palsu, mereka beli dan sogok untuk dapat berita separa benar, kemudian putar, mereka ini pengguna media peringkat tinggi yang ada misi tertentu, bukan media yang lapor berita semata-mata,” katanya.

Annuar berkata, ia bukan lagi permainan pada peringkat tempatan, malah sudah menjadi bertaraf global dengan pihak yang berkepentingan bukan lagi berada di depan mata dan menambah kata, kerajaan akan menjadi mangsa.

Ia sekiranya UMNO tidak mempunyai ketahanan serta kaedah sesuai untuk menangkis perkara tersebut. Meskipun tidak sebut secara terperinci, Annuar jelas merujuk kepada portal Sarawak Report berpangkalan di London, Britain.

“Kita tidak boleh dedahkan apa yang kita buat, tetapi yang pastinya kita tidak mahu rakyat terpedaya…  Rakyat perlu dapat sumber sahih walaupun ia mungkin agak lebih perlahan daripada penularan pantas berita palsu atau fitnah.

“Apa yang penting sumber sahih itu mesti diperoleh sebab sekarang ini amalan membina persepsi sudah menjadi strategi yang digunakan sepenuhnya oleh mereka yang hendak menjatuhkan pihak kerajaan,” kata Annuar.

“Di luar sana, bermacam-macam maklumat berlegar menerusi medium sosial seperti Facebook (FB), Instagram (IG) dan Twitter. Kita memberi tumpuan bagaimana untuk menyampaikan maklumat yang betul kepada mereka ini.

“Bagaimanapun kita tidak terlalu pesimistik. Di luar sana juga secara kebetulan ada ‘majoriti senyap’ yang memerhati bukan sahaja siang malam bermain FB atau kerjanya menyebarkan berita dan sebagainya.

“Masih ramai sebenarnya bijak menilai sesuatu berita, mereka baca apa yang ada dalam kumpulan WhatsApp dan FB tetapi mereka bukan orang mudah dipengaruhi dengan segera. Mereka boleh fikir sendiri dan cari maklumat.

“Sekarang ramai sudah faham, kalau dapat satu berita, mereka selidik untuk pastikan ia palsu atau benar, bukan dapat berita saja mudah terpedaya terus emosi. Kita anggap kebijaksanaan rakyat berfikir itu adalah aset,” katanya.

Menerusi persediaan rapi yang dilakukan sehingga kini, Annuar berkata, pihak jentera UMNO dan komponen BN menyasarkan kemenangan bergaya dengan meraih majoriti dua pertiga kerusi Dewan Rakyat pada PRU ke-14.

“Sasaran kita hendak menang semaksimum mungkin kerana kita mahu membentuk sebuah kerajaan yang cukup kuat. Rakyat juga malahan memerlukan sebuah kerajaan yang agak kuat dalam membentuk dasar negara.

“Kalau kita pilih kerajaan yang lepas PRU baru hendak bahagi jawatan Perdana Menteri, mahu pula kongsi-kongsi kau dua tahun aku pula dua tahun, itu kita sengaja terjun (cari masalah),” sinis Annuar menyindir Pakatan Harapan.

UMNO dan BN, katanya, sentiasa berusaha mengatasi persepsi, penipuan, kempen benci dengan penuh kesabaran, justeru parti itu yakin rakyat akan buat keputusan jujur semasa PRU nanti. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Penyokong Arsenal Enggan Nyatakan Sokongan

PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger menyuarakan kebimbangan tentang kesungguhan penyokong skuad itu kerana ribuan tempat duduk di Stadium Emirates dibiarkan kosong pada Isnin.

Namun begitu, pasukan tersebut tetap meraih kemenangan 3-0 ke atas Watford.

Kemenangan itu adalah susulan kejayaan 2-0 ke atas AC Milan pada Khamis biarpun sebelum itu berdepan saingan sengit menentang Manchester City dan kekalahan ke atas City dan Brighton.

Masa depannya bersama Arsenal bergantung kepada kemenangan dalam Liga Eropah bagi menempah tempat dalam Liga Juara-Juara dan rata-rata penyokong sudah pun berputus harapan.

Hampir satu pertiga daripada tempat duduk itu kosong ketika perlawanan menentang Watford apabila ribuan peminat melahirkan kekecewaan mereka melalui cara tersebut.

“Sudah tentu saya bimbang sebab saya mahu penyokong kami berada di belakang pasukan dan berasa gembira.

“Tapi selepas apa yang berlaku pada minggu itu, tindakan mereka boleh difahami.

“Kami berada dalam pekerjaan yang mana kami perlu membuat penyokong berpihak kepada kami dan lakukan apa sahaja untuk tujuan itu. Itulah yang kami ingin lakukan,” kata Wenger.

Pengurus itu berkata, dia teruja di atas kemenangan terhadap Hornets kerana dia percaya ia akan menaikkan mood mereka.

“Keseluruhannya, ia mengeluarkan kami daripada semangat negatif.

“Kami mengalami minggu mimpi buruk,” katanya. – ESPN/mStar Online

Loading...

Kaki Putus Jadi Bantal Pesakit Nahas Jalan Raya

NEW DELHI – Kaki seorang lelaki yang terputus akibat kemalangan jalan raya dijadikan bantal ketika dia dimasukkan ke wad kecemasan kerana hospital di Jahnsi itu kekurangan bantal.

Susulan itu, pihak kerajaan mengarahkan supaya siasatan dilakukan terhadap kejadian pelik yang berlaku di Hospital Kolej Perubatan Maharani Laxmi Bai Jhansi kelmarin.

Menurut laporan media India, Ghanshyam, 28, yang bekerja sebagai pencuci bas sekolah dihantar ke hospital dalam keadaan kritikal selepas terbabit dalam kemalangan di Mauranipur.

Hindustan Times melaporkan, pengetua kolej itu, Dr Sadhna Kaushik berkata, jawatankuasa empat ahli ditubuhkan untuk mengenal pasti kakitangan hospital yang bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.

“Dr Rajeev Sinha (ketua jabatan pembedahan) yang mengetuai jawatankuasa itu akan menyediakan laporan dalam tempoh 48 jam. Tindakan akan diambil berdasarkan keputusan laporan terbabit.

“Saya sudah menemui 30 orang di wad kecemasan terbabit namun, tidak seorang pun mengaku ada melihat siapa melakukannya,” katanya yang menganggap kes itu sebagai khianat.

Kolej perubatan itu juga akan melihat rakaman kamera litar tertutup untuk mengesan kakitangan yang bertanggungjawab melakukan tindakan yang disifatkan sebagai memalukan.

Menurut akhbar Times of India, Sadhna berkata, ahli keluarga mangsa termasuk abang dan ibunya menemani ke hospital tersebut sambil membawa kakinya yang terputus itu.

Namun menurutnya, seorang daripada mereka tidak menyerahkan kaki itu kepada doktor atau kakitangan lain selepas selesai urusan formaliti undang-undang.

Keluarga itu membawa sebiji bantal yang digunakan pihak hospital untuk melapik paha mangsa yang berada di atas pengusung.

Ibu mangsa, Devki memberitahu pihak berkuasa, doktor meletakkan kaki yang terputus itu untuk mengalas kepala memandangkan mereka tidak cukup bantal.

Ketua perubatan, Harish Chandra Arya berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sebaik selesai siasatan. – Agensi/myMetro Online

Loading...

Tunjuk Perasaan Pro Kurdish Jejas Jerman, Britain

BERLIN – Beberapa orang dilaporkan cedera selepas penunjuk perasaan pro Kurdish bertempur dengan polis Jerman di lapangan terbang Duesseldorf selepas mereka mengadakan bantahan terhadap serangan oleh tentera Turki di utara Syria.

Manakala bantahan yang berlangsung di Britain, memaksa pihak berkuasa di negara itu menutup sementara dua stesen kereta api.

Menurut pihak berkuasa, beberapa mangsa dilaporkan cedera di Jerman selepas pihak polis menggunakan penyembur lada bagi meleraikan penunjuk perasaan, yang membantah operasi ‘Olive Branch’ oleh tentera Turki ke atas Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) di wilayah Afrin, Syria.

“Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 150 penunjuk perasaan itu adalah antara beberapa demonstrasi yang diadakan di Jerman pada hujung minggu ini, sebelum ia bertukar menjadi ganas, hingga menyebabkan beberapa individu cedera,” kata jurucakap polis persekutuan kepada AFP.

Sementara itu, di Britain, penunjuk perasaan berarak sambil mengibarkan bendera pro Kurdish hingga memaksa stesen kereta api Manchester Piccadilly dan King’s Cross di London ditutup.

Malah, tindakan polis Britain mengawal pintu masuk ke stesen terbabit bagi menghalang orang ramai yang berarak dari memasuki kawasan stesen itu menyebabkan perkhidmatan kereta api terjejas teruk. – AFP/BH ONLINE

Loading...

Sarawak Berpotensi Besar Pengeluar Nanas Negara

BAU – Sarawak mempunyai potensi besar sebagai pengeluar nanas negara, sehubungan itu Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) sebagai agensi peneraju utama pembangunan industri nanas sedang giat mempromosikan tanaman itu di negeri ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Anthony Nogeh Gumbek berkata LPNM yang mula beroperasi di negeri Sarawak pada tahun 2010 telah memberi bantuan kepada kira-kira 600 penanam nanas di seluruh negeri ini sehingga penghujung tahun 2017 dengan keluasan tanaman 800 hektar.

Menurut Nogeh, kerajaan telah mengenal pasti nanas sebagai satu sumber kekayaan baharu yang apabila diusahakan secara serius dan bersungguh-sungguh serta penuh komitmen mampu meraih pulangan yang sangat memuaskan.

“Nanas merupakan tanaman yang sangat berpotensi untuk dimajukan sebagai sumber pendapatan yang lumayan,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan skim bantuan penanaman nanas LPNM di Kampung Stenggang di sini malam tadi.

Seramai 10 peserta menerima bantuan berkenaan yang masing-masing bernilai RM5,500 seorang merangkumi bantuan benih, racun, baja dan hormon.

Nogeh berkata bagi tahun 2018 LPNM menyasarkan pertambahan kawasan baharu sejumlah 80 hektar di Sarawak.

Selain penanaman nanas Moris (Sarikei) dan nanas N36 yang terus mendapat permintaan yang tinggi, LPNM sedang giat mempromosikan penanaman nanas premium MD2 untuk tujuan eksport memandangkan ia mendapat permintaan sangat tinggi di pasaran dunia termasuk di China.

Katanya, projek perintis penanaman nanas premium MD2 seluas lapan hektar telah dilaksanakan di Kampung Padang Pan, Bau dan akan dikembangkan ke kawasan lain setelah menghasilkan bibit yang mencukupi kelak.

“Dengan potensi yang sangat luas, Sarawak dilihat mampu membantu melonjakkan industri nanas negara dan peluang ini patut direbut oleh rakyat negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu Nogeh yang juga Anggota Parlimen Mas Gading tutut menyampaikan bantuan kewangan kepada lebih 100 ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya (OKU). – BERNAMA

Loading...

Parlimen Mungkin Dibubar Lebih Awal

KUALA LUMPUR – Pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijadualkan pada 29 Mac ini diawalkan, sekali gus memungkinkan Parlimen dibubarkan akhir Mac atau awal April bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.

Sumber berkata, Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri itu, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat seawal 19 Mac ini atau selewat-lewatnya pada 26 Mac.

Ia dilakukan sebaik selepas berakhirnya perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang sedang berlangsung di Dewan Rakyat sekarang, selesai.

Menurut sumber itu lagi, usul berkenaan mulanya dijadualkan untuk dibentang pada 29 Mac, tetapi diawalkan sebagai persiapan untuk menghadapi PRU-14.

PM dijangka bentang usul kali pertama

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan usul itu untuk bacaan kali pertama.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata usul berkenaan perlu dibahas dan diluluskan dengan undian majoriti mudah iaitu lebih separuh daripada 222 Ahli Parlimen.

“Selepas diluluskan di Dewan Rakyat, Draf Perintah ini tidak akan melalui Dewan Negara dan Perdana Menteri akan membawanya terus kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda,” katanya, ketika dihubungi.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, usul persempadanan semula kawasan pilihan raya itu hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan, kerana tidak membabitkan tambahan jumlah kerusi.

Jika membabitkan tambahan jumlah kerusi Parlimen, maka Dewan Rakyat perlu meminda Perkara 46 dalam Perlembagaan Persekutuan, untuk majoriti dua pertiga.

Tiada tempoh ditetapkan untuk dapat perkenan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, pula ketika dihubungi menjelaskan tiada tempoh ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan dan ditandatangani Yang di-Pertuan Agong.

“Ianya akan dikuat kuasa pada tarikh Seri Paduka Baginda bersetuju dan (terus) diwartakan,” katanya.

Mengenai PRU-14 beliau berkata, SPR kini dalam peringkat akhir persiapan dan bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan pilihan raya pada bila-bila masa.

Satu lagi sumber memberitahu, sebaik mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, sempadan bahagian pilihan raya baharu akan berkuat kuasa apabila Dewan dibubarkan pada atau selepas tarikh kuat kuasa Perintah Persempadanan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan penggal keenam Dewan Rakyat dijadual berlangsung selama 20 hari dan akan berakhir 5 April.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Parlimen akan dibubarkan terus sebaik Dewan Rakyat meluluskan RUU persempadanan semula kawasan pilihan raya. – BH ONLINE

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...

Messi Dedah Sebab Tarik Diri Dari Aksi Menentang Malaga

LIONEL Messi membuat keputusan mengejut apabila menarik diri dari skuad Barcelona untuk berhadapan dengan Malaga pada Sabtu malam.

Namun selepas itu beliau membuat pengumuman mengenai kelahiran anak ketiganya.

Menerusi posting di Twitter kelab itu melaporkan berita berkenaan pada pagi Sabtu, sebelum Messi mengumumkan berita mengenai anak ketiganya, Ciro.

Difahamkan keputusan yang dibuat pemain kelahiran Argentina itu dibuat pada saat akhir, namun tempatnya digantikan oleh Yerry Mina.

“Selamat datang Ciro!,” kata pemain berusia 30 tahun itu di laman sosialnya di Instagram.

“Terima kasih Tuhan di atas semuanya berjalan dengan baik. Ibu dan dia (anak) semuanya sihat. Kami sangat gembira,” ujar Messi. – Mail Online UK/mStar Online

Loading...

Tidak Akan Berlaku Tsunami Melayu Di Johor

ISKANDAR PUTERI – Tiada tsunami Melayu akan berlaku di Johor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), seperti yang digembar-gemburkan beberapa pihak khususnya pembangkang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Melahirkan keyakinan bahawa negeri kubu kuat UMNO itu akan kekal milik Barisan Nasional (BN), beliau berkata UMNO Johor mempunyai kekuatan sendiri untuk menghadapi sebarang cabaran daripada parti pembangkang yang bertunjangkan orang Melayu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAS.

Menteri Besar Johor itu berkata pihak pembangkang akan sentiasa mencari jalan untuk mensensasikan apa sahaja isu untuk mengelirukan rakyat dan meraih sokongan.

Masyarakat bukan Melayu, kata beliau seharusnya tidak bimbang lantas terpengaruh dengan dakwaan parti pembangkang yang kononnya akan berlaku tsunami Melayu pada PRU14, bapa kepada segala pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa ini.

“Pokoknya ialah kita selalu beritahu masyarakat Cina dan India, umpamanya, supaya tidak terpedaya dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat pembangkang kononnya akan berlaku tsunami Melayu dan sebagainya.

“Semua itu tidak akan terjadi, ia adalah satu tuduhan yang tidak berasas kerana jika masyarakat bukan Melayu percaya kepada itu, maka akhirnya mereka juga akan rugi,” katanya dalam satu temu bual khas Bernama di pejabatnya, Kota Iskandar, pusat pentadbiran kerajaan Johor baru-baru ini.

Badan pemikir pembangkang, Invoke, baru-baru ini meramalkan bahawa Kedah, Perak dan Johor akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan selain mendapat kemenangan besar di Selangor dan Pulau Pinang berikutan tsunami Melayu.

Membentangkan kaji selidik terhadap 2,000 responden pada forum “GE14 Prediction Forum: What The Big Data Tells Us?” di Kuala Lumpur, Pengarah Invoke Rafizi Ramli berkata kaji selidik mendapati sokongan Melayu terhadap BN menurun kepada 28 peratus bulan lalu berbanding 41 peratus pada Disember tahun lepas.

Sokongan Melayu terhadap pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, PPBM, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) naik kepada 14.1 peratus berbanding 9.9 peratus dalam tempoh sama. Kajian itu turut mendakwa jumlah pengundi atas pagar meningkat daripada 11.9 peratus kepada 17 peratus.

Pada PRU13, BN memenangi 38 kerusi DUN Johor manakala bakinya 13 dipegang DAP, empat (PAS) dan satu PKR. Berikutan tindakan keluar parti, kedudukan terkini DUN Johor adalah BN mempunyai 37 kerusi, DAP (13); PAS (tiga), PKR, PPBM dan Amanah masing-masing satu kerusi.

Merujuk keadaan jika parti bukan Melayu tidak berjaya bersama-sama UMNO untuk membentuk kerajaan, Mohamed Khaled, yang juga Pengerusi BN Johor, berkata akan timbul ketidakseimbangan dalam kerajaan dan ia bukanlah satu keadaan yang diingini UMNO dan BN di Johor.

“Kita nakkan keseimbangan untuk banyak perkara lain, kita mahu juga keseimbangan dalam kerajaan. Saya dah beritahu dalam satu pertemuan semasa Tahun Baharu Cina baru-baru ini bahawa adalah penting adanya wakil-wakil bukan Melayu dalam kerajaan sebagai satu perlambangan perseimbangan yang kita nak bawa.

“Jadi tsunami Melayu takkan berlaku di Johor hanya kerana semata-mata nak sokong Tan Sri Muhyiddin (bekas pemimpin UMNO), maka (orang Melayu) beralih daripada kerajaan yang banyak membawa kepada kesejahteraan, saya ingat orang Melayu Johor bukannya orang yang tak berfikir dan tidak rasional. Mereka rasional,” katanya.

Menurutnya, orang Melayu sangat mementingkan soal mempertahan, melindungi dan menjadi benteng kepada agama Islam, soal-soal liberalisasi dan sebagainya, yang mana akan dijadikan asas untuk mereka membuat pilihan.

“Bukannya hanya kerana Muhyiddin dari Johor maka dia terbuang, dia tubuhkan parti lain, maka berduyun-duyun orang Melayu di Johor beri sokongan kepada PBBM,” kata Mohamed Khaled dengan nada penuh berterus terang.

Memetik kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, Menteri Besar Johor itu berkata masyarakat harus ingat yang UMNO berdiri atas kekuatan sendiri dan oleh kerana Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk, UMNO turut bersama-sama kaum lain untuk bersama tubuh kerajaan dan berkongsi kuasa.

“Tetapi PBBM berdiri atas kekuatan parti lain, (harap) DAP, begitu juga dengan parti Amanah dan itu tidak bagus ataupun bukanlah satu keadaan yang baik bagi mana-mana parti politik yang hendak menjadi teras,” tegasnya.

Beliau berkata UMNO Johor mempunyai kekuatan tersendiri bagi menghadapi perlawanan satu lawan satu dan tiga penjuru berdasarkan rekod pencapaian yang konsisten.

Selain itu, kerjasama UMNO Johor dengan parti-parti komponen terus diperkukuh dalam usaha BN menawan kembali kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU lepas, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Permas itu penuh yakin. – BERNAMA

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...

JDT Rampas Kembali Kedudukan Teratas Liga Super

KUALA LUMPUR – Juara empat kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali merampas persada Liga Super 2018, selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu malam.

Jaringan tunggal pemain pertahanan import dari Brazil, Marcos Antonio Elias Santos pada minit ke-29 meletakkan skuad Harimau Selatan di tangga teratas carta dengan 12 mata daripada lima perlawanan.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pasukan tuan rumah, Pahang mengalahkan Negeri Sembilan 4-0, sekali gus melonjak ke kedudukan kedua carta berdasarkan lebihan jaringan walaupun berkongsi 10 mata dengan PKNS FC.

Skuad Tok Gajah membuka jaringan menerusi pemain import dari Brazil, Patrick Dos Santos Cruz pada minit ke-26, sebelum pemain import Liberia, Francis Forkey Doe menggandakan jaringan akhir babak pertama.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua ayam tambatan skuad kendalian Dollah Salleh itu meneruskan buruan gol, apabila Santos menambah jaringan pada minit ke-65, diikuti oleh jaringan Forkey Doe pada minit ke-88.

Sementara itu, Kuala Lumpur bangkit dari ketinggalan 1-2 untuk menewaskan Kedah 4-3 pada aksi yang penuh dramatik di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Skuad ‘The City Boys’ bermula yakin dengan menjaringkan gol seawal minit ketiga menerusi Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, namun skuad Hijau Kuning berjaya menyamakan kedudukan selang tujuh minit kemudian menerusi pemain import dari Sepanyol, Pablo Pallares Marzo.

Berrmula babak kedua, ayam tambatan Kedah, Liridon Krasniqi meletakkan Kedah di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-50, sebelum pemain import dari Brazil, Guilherme de Paula Lucrecio menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-62, apabila Mohd Zaquan Adha dikasari oleh kapten Kedah, Khairul Helmi Johari di dalam kotak penalti.

Kuala Lumpur kembali mendahului perlawanan menerusi jaringan pemain import dari Brazil, Paulo Josue pada minit ke-82, tetapi Pallares sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-90, sebelum Ashri Chuchu mengesahkan kemenangan pasukan tuan rumah menerusi jaringan masa kecederaan.

Dalam saingan Liga Premier, UiTM FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, apabila terikat 1-1 menentang Felcra FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Pemain import dari Argentina, Lucas Ramon Pugh meletakkan UiTM FC di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-43, sebelum Shahrom Kalam menyamakan kedudukan pada minit ke-93 menerusi sepakan penalti, apabila penjaga gol UiTM FC, Soffuan Tawil menjatuhkan Leonardo Moreira Carvalho dalam kotak penalti.

Pada aksi petang Sabtu, Terengganu FC II berjaya mencatatkan kemenangan pertama bagi musim ini apabila bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Skuad tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Perancis, Redouane Zerzouri pada minit ke-16, namun jaringan Hasbullah Awang pada minit ke-32 dan pemain import dari Brazil, Bruno Suzuki pada minit ke-85 mengesahkan tiga mata penuh buat skuad kendalian Mustaffa Kamal Abdul Wahab. – BERNAMA

Loading...

Kambing 2 Muka Dilahirkan Di Pakistan

ISLAMABAD – Satu rakaman video yang memaparkan seekor anak kambing yang dilahirkan dengan dua muka termasuk dua mulut dan empat mata di Pakistan kini tular di media sosial.

Rakaman video berkenaan menunjukkan haiwan itu yang dipercayai baru dilahirkan diberi minum susu oleh pemiliknya.

Video itu dipercayai dirakamkan di satu lokasi di Rawalpindi, Pakistan tetapi keadaan haiwan berkenaan tidak diketahui.

Pakar memberitahu, keadaan anak kambing itu dikenali sebagai dicephalic parapagus iaitu dilahirkan dengan dua kepala dan satu badan.

Setiap kepala haiwan itu mempunyai otak yang berasingan dengan ia berkongsi kawalan pada organ dan anggota badan lain.

Biasanya, haiwan yang dilahirkan dengan keadaan seperti itu hanya hidup selama beberapa bulan.

Menurut laman sesawang Newsflare, walaupun keadaan itu sangat jarang ditemui, haiwan yang dilahirkan dengan dua kepala direkodkan sejak 1800-an lagi.

Sebelum ini beberapa video yang tular memaparkan kambing yang dilahirkan dengan dua kepala tetapi mati tidak lama selepas dilahirkan. – Agensi/myMetro Online

Loading...